Kalau Selipar Hilang Semasa Solat Jumaat

Beberapa minggu yang lepas selipar saya hilang ketika menunaikan solat Jumaat di Masjid Pangkalan Udara Subang. Ya, “selipar Jepun” yang biasa itu. Cuma, selipar itu kelihatan baru (dibeli beberapa bulan lepas dan hanya dipakai sewaktu hendak ke masjid untuk bersolat Jumaat sahaja).

Puas mencari dan meninjau, akhirnya saya memutuskan untuk berkaki ayam saja ke kereta yang diparkir jauh dari masjid. Terjingkit-jingkit kaki saya didera haba panas simen dan tar tapak parkir. Hanya Tuhan saja yang tahu betapa terseksa dan menderitanya kaki saya. Tidak ubah macam berjalan di atas bara api. Sungguh, melepuh dan melecur tapak kaki saya yang mulus: kemerahan dan kemudiannya mengelembong dengan air bisa beberapa jam kemudian.

Isteri membebel apabila saya ceritakan kejadian yang berlaku selepas solat Jumaat pada hari itu. Dia tidak dapat menerima bagaimana dalam keadaan semua orang ke masjid dengan tujuan baik; bersolat  Jumaat, kemudian selepas solat, boleh pula kebas selipar orang.

Walaupun ada rasa kecewa dan terkilan dalam hati, saya berusaha mengikis perasaan itu dan memujuk untuk membuangnya jauh-jauh. Kenapa? Kerana saya menerima itu sebagai ibrah dan hukuman ke atas dosa-dosa yang telah saya lakukan selama ini.

“Biarlah, kita anggaplah sebagai sedekah saja kepada orang yang mengambil selipar itu. Mungkin dia yang lebih memerlukan selipar itu. Siapa tahu dia ada kemudaratan dan masalah yang memaksanya mengambil selipar itu. Mungkin juga orang meminjamnya untuk ke tandas dan bilik air”, kata saya.

Allahu akbar! Allah Maha Besar dan Allah juga Maha Mengetahui. Apa yang dapat saya belajar daripada peristiwa kehilangan selipar di masjid ini?

Ingatan saya terhimbau pada suatu tazkirah yang saya dengar di corong radio ketika berkereta awal pagi ke pejabat pada suatu pagi. Tazkirah itu berkisah sekitar peel dan sifat orang yang hendak ditemuduga untuk mendapatkan kerja. Lihat saja bagaimana orang yang hendak pergi bertemuduga. Dia akan mengenakan pakaian yang paling cantik dan kemas. Bertali leher, kasut berkilat, baju dimasukkan ke dalam seluar, berseterika kemas. Rambutnya disisir rapi, penampilannya dijaga serta serba-serbinya kemas.

Maka, ketika kita hendak berjumpa dengan Allah pula, apakah semua itu kita pentingkan? Ketika hendak bersolat, tidak kiralah sama ada solat fardhu lima waktu atau bersolat Jumaat, adakah kita [saya] mengambil kira penampilan, cara berpakaian dan persediaan diri yang wajar? Bukanlah solat ialah menghadap dan menemui Tuhan? Sedangkan hendak berjumpa dengan manusia kita lagikan menjaga penampilan dan cara berpakaian, inikan pula hendak berjumpa dan menghadap Allah Subhanahu Wata’ala.

Ya, saya insaf bahawa ketika ke pejabat, saya berkasut kulit yang berkilat, tetapi apabila ke masjid, saya hanya berselipar Jepun sahaja. Mungkin Allah mahu memberi peringatan dan amaran-Nya kepada saya agar lebih berjaga-jaga dalam penampilan diri untuk menemui-Nya.

Kedua, rakan saya yang turut serta berkereta bersama ke solat Jumaat petang itu berkata kepada saya begini: “Nizam, anta niat sedekahkan saja selipar itu. Ia lebih baik begitu kerana sesiapa saja dan di mana saja orang memakai selipar itu, anta akan memperoleh pahala sedekah kerana memberi kebaikan kepada si pemakainya. Selipar anta itu telah melindungi dan menyelamatkan kaki si pemakainya daripada kotoran dan bahaya. Soal dia mencuri dan memiliki barang yang bukan miliknya itu kita serahlah kepada Allah”.

Ketiga, apa yang berlaku sebenarnya adalah ujian dan dugaan dari Allah. Ya, kejadian kehilangan selipar dalam keadaan seperti itu sebenarnya satu ujian. Allah mahu menduga keimanan dan ketakwaan kita kepada-Nya. Bagaimana, jika dengan ujian dan dugaan yang sangat kecil begitu, kita membebel, mengutuk dan membesar-besarkannya sehingga menjadi gunung; di manakah nilai iman dan takwa kita. Di manakah nilai iman bahawa Allah itu Maha Besar, Maha Agung dan Maha Berkuasa? Dengan hanya ujian yang sekecil itu saja kita sudah tewas?

Keempat, pada ketika kaki saya menitip di atas kerikil bertar dan bersimen yang panas [sehingga menyebabkan tapak kaki saya melepuh] mengingatkan saya kepada “maha” panasnya api neraka kelak! Apa yang berlaku kepada saya, saya bukannya berjalan di atas api, hanya berjalan di atas kepanasan. Jika itu pun saya sudah berasa terseksa dan sakit, wahai… mampukah lagi untuk saya berterus-terusan bergelumang dan berada di dalam dosa untuk “mencabar” ngeri neraka? Allahu akbar! Demikian, saya anggap ia sebagai amaran dan peringatan Allah.

Subhanallah, saya insaf dan akur bahawa sesungguhnya setiap apa yang berlaku, walaupun kecil tetap membawa hikmah dan sebab-musababnya yang banyak dan bermanfaat; terpulang dari sudut mana dan dengan perasaan yang bagaimana kita mahu melihatnya.

Demikianlah kalau selipar hilang semasa solat Jumaat.

Leave a comment