Terubuk Bakar dan Nelayan Terbakar

Saya gemar memakan ikan terubuk bakar dan lawannya cicah air asam. Ibu cukup arif dan faham, jika saya pulang ke kampung, semahunya ibu akan menyediakan ikan terubuk bakar buat saya, biasanya pada waktu makan tengahari.

Ops, saya tidak berniat memanjangkan cerita tentang nafsu terhadap terubuk bakar dan air asam. Ia sekadar lontaran mukadimah untuk saya hantarkan maksud yang lebih tersirat daripada apa yang tersurat daripada cerita ikan terubuk bakar ini.

Ia juga bukan sahaja tentang ikan terubuk, tetapi ikan-ikan yang lain juga yang dimakan oleh manusia. Ikan kembung, ikan bilis, ikan bawal, ikan pari, ikan siakap, ikan itu, ikan ini, dan sebagainya. Malah lebih umum semua jenis makanan yang datangnya daripada air; air laut atau air sungai.

Pendek kata, semua manusia suka makan ikan sebagai sumber protein yang utama. Ikan yang kita beli di kedai, di pasar dan di mana-mana saja dengan mudah kita akan mencuba pelbagai resepi untuk memasaknya mengikut nafsu dan selera kita. Demi memenuhi rasa sedap yang kita nikmati.

Namun, pernahkah kita berfikir jauh bagaimanakah ikan yang sedap kita makan itu sampai kepada kita? Ya, dengan mudah kita boleh menjawab bahawa dengan duit yang kita ada, kita beli saja ikan apa yang kita suka di kedai, di pasar atau di pasaraya.

Betul, ia bukanlah jawapan yang salah tetapi untuk tujuan ini marilah sama-sama kita renungkan lebih jauh sedikit bahawa ikan yang kita beli di pasar dan di kedai itu tentulah datangnya dari pemborong-pemborong ikan; pemborong ikan pula memperolehnya daripada nelayan. Katalah begitu.

Pernahkah kita berfikir dan membayangkan bagaimana kesusahan dan kesukaran sang nelayan bertungkus-lumus dan bertarung nyawa di lautan yang dalam semata-mata untuk memberikan kita ikan yang segar dan sedap setelah kita memasaknya dengan pelbagai resepi hebat dan sedap ciptaan kita?

Sekali fikir, mungkin kita tidak perlu berasa apa-apa pun terhadap nelayan yang turun ke laut mencari ikan itu. Apalah yang hendak kita kisahkan atau kita susahkan dengan kehidupan sang nelayan yang jauh daripada kita itu. Itu sudah tugas dan tanggungjawab nelayan itulah. Itulah kerja yang dipilihnya. Mungkin itulah yang kita fikir terhadap sang nelayan.

Sebenarnya, jauh daripada itu kita sebagai manusia tidak dapat hidup sendirian. Allah SWT menjadikan kita dengan segala kelemahan dan kekurangan kerana hanya Dia yang Maha Besar dan Maha Perkasa.

Justeru, sebagai manusia usahlah kita berasa ego dan berlagak bahawa kononnya apa sahaja yang kita miliki dan perolehi di dunia ini adalah hasil kudrat dan usaha kita semata-mata. Tidak. Pandanglah lebih jauh dan luas. Ya, kita mungkin berjaya atas usaha dan kudrat kita, tetapi semua usaha dan kudrat kita itu berkaitan dengan orang lain.

Kita mungkin berjaya menjadi seseorang yang penting, berkuasa dan kaya. Namun, pentingnya kita kerana ada orang lain di bawah kita. Berkuasanya kita kerana kita ada orang yang dipertanggungjawabkan dan kita kaya kerana kita berurusniaga dengan orang lain; kita tidak kaya dengan sendirinya.

Oleh itu, sebagai manusia selalulah bersyukur dan berterima kasih. Inilah yang hendak kita anjurkan sebenarnya dan Islam sangat mementingkan konsep syukur ini.

Justeru, kalau kita berasa sedap memakan ikan terubuk bakar bersama cicah air asam, kenang-kenang dan ingat-ingatlah kepada sang nelayan yang terbakar kulitnya dijamah mentari kerana mencari dan mendatangkan ikan terubuk itu kepada kita.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s