Sang Katak Yang Pekak

Pada suatu hari ada segerombolan katak-katak kecil yang ingin beradu kekuatan berlumba. Tujuannya adalah mencapai puncak sebuah menara yang sangat tinggi. Penonton berkumpul bersama mengelilingi menara untuk menyaksikan perlumbaan itu dan memberikan semangat kepada para peserta.

Maka perlumbaan pun dimulai.

Secara jujur, tidak satu pun penonton yang benar-benar percaya bahawa katak-katak kecil akan bisa mencapai puncak menara. Terdengar suara, “Oh, jalannya terlalu sulitttt!! Mereka TIDAK AKAN BOLEH sampai ke puncak” dan “Tidak ada kesempatan untuk berhasil. Menaranya terlalu tinggi!

Katak-katak kecil mulai berjatuhan. Satu persatu. Kecuali mereka yang tetap semangat menaiki menara perlahan-lahan semakin tinggi dan semakin tinggi. Penonton terus bersorak, “Terlalu sulit!!! Tak seorangpun akan berhasil!”

Lebih banyak lagi katak kecil lelah dan menyerah.

Tapi ada SEEKOR KATAK sahaja yang melanjutkan pandakiannya  hingga semakin tinggi dan tinggi. Dia belum menyerah! Akhirnya yang lain telah menyerah untuk menaiki menara. Kecuali katak yang satu itu. Katak kecil yang satu itu telah berusaha keras menjadi satu-satunya yang berhasil mencapai puncak.

SEMUA katak kecil yang lain ingin tahu bagaimana katak ini bisa melakukannya? Seorang peserta bertanya bagaimana cara katak yang berhasil menemukan kekuatan untuk mencapai tujuan? Ternyata, katak yang menjadi pemenang itu SEBENARNYA PEKAK. Dia tidak bisa mendengar semua cemuhan dan perkataan negatif dari sekelilingnya. Katak itu, percaya dan yakin pada visinya: menggapai puncak tertinggi dengan tidak mendengarkan segala hal negatif!

Apakah ibrah, hikmah dan pengajaran yang dapat kita ambil daripada kisah sang katak yang pekak ini?

Ya, kecacatan atau kekurangan itu sebenarnya satu kelebihan! Kalaulah sang katak itu tidak pekak atau tidak tuli, sudah tentulah dia juga akan mengikut jejak rakan-rakannya yang tewas, tidak bersemangat dan akhirnya jatuh dek kerana cemuhan dan kata-kata yang tidak bersemangat dari para penontonnya.

Ertinya, kita “buat-buat pekak” sahaja kepada orang yang mengutuk dan mencemuh usaha atau tindakan yang kita lakukan. Fokus dan beri tumpuan serta komitmen yang tinggi kepada apa yang sedang kita usahakan. Kata-kata mereka yang mengutuk dan mencemuh kita itu sebenarnya kerana memang mereka mahu melihat kita gagal dan jatuh. Ya, adakah kita hendak membiarkan kita tewas dan jatuh dek hanya kerana kata-kata mereka yang tidak tahu apa-apa itu? Oh, usahlah semudah itu.

Mereka yang bersorak, mengutuk dan mencemuh segala usaha kita itu bukannya tahu pun apakah sebenarnya yang kita lakukan. Mereka tidak tahu pun keyakinan diri kita. Kita yang tahu dan mesti yakin kepada diri kita sendiri. Jika apa yang kita usahakan dan lakukan adalah usaha yang betul, diredai Tuhan, tidak berlanggar dengan syariat agama, maka apakah yang perlu kita hirau akan sorakan, cemuhan dan kutukan mereka?

Sesekali, kita juga perlu memekakkan telinga walaupun dikurniakan Tuhan telinga yang baik dan jelas untuk mendengar!

* Kisah katak ini saya cuplik dan diubahsuai sepenuhnya daripada internet. Dikisahkan di sini supaya daripada tamsilannya kita beroleh manfaat, insya’allah.

Jalan Lain Ke Syurga

Keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi tahun 2009 baharu saja diumumkan. Seperti biasa, ada yang berjaya dan ada pula yang gagal. Mereka yang berjaya pula ada tahap-tahapnya. Ada yang cemerlang memperoleh semu A+. Ada yang dapat beberapa A- dan A saja. Ada yang tidak dapat A langsung dan pelbagai lagi.

Begitu juga bagi mereka yang gagal. Mereka yang gagal ini pun bertahap-tahap juga. Ada yang gagal sedikit, ada yang gagal banyak mengikut gred A, B, C yang mereka perolehi.

Walau apa pun keputusan yang mereka perolehi, saya ucapkan tahniah dan syabas kepada mereka yang berjaya, manakala buat mereka yang gagal, saya sarankan mereka ucapkan syukur: bersyukur dan ingatlah kepada Allah Subhanahu Wata’ala.

Ya, fokus saya ialah kepada mereka yang menganggap mereka gagal! Tulisan ini hanya untuk mereka yang berasa diri mereka telah gagal lantaran tidak ada A langsung dalam slip keputusan peperiksaan.

Ya, kalau hanya di atas slip keputusan atau di atas kertas sahaja menunjukkan ia gagal, kita sebenarnya tidak gagal jika kita tidak mahu mengakuinya! Lainlah jika kita sendiri yang kemudiannya berduka-lara, berduka nestapa dan meratapi kegagalan kita itu. Ya, subjek ini sukar untuk difahami dan saya cuba untuk menjelaskan dengan sebaik mungkin.

Begini. Apa yang berlaku sekarang ialah keputusan sudah dikeluarkan bukan? Tidak ada apa yang besar sangat yang boleh kita lakukan untuk mengubah angka dan huruf di atas keputusan yang sudah dikeluarkan itu melainkan mengambil peperiksaan semula (masih dibolehkan sekarang ini?) atau membuat rayuan penyemakan semula keputusan itu. Itu saja. Kalau sanggup untuk kembali menduduki peperiksaan sama tahun depan demi mengubah keputusannya, silakan. Atau kalau mahu semakan semula keputusan itu pun, ya silakan juga. Namun, tidak banyak yang dapat berubah.

Justeru, mari kita berfikir begini. Apalah guna kita menangis, meratap, berduka-cita dan berduka-lara hanya kerana keputusan SPM kita yang tidak seberapa itu? Bukankah hidup ini perlu diteruskan? Bukankah umur kita masih muda? Ya, perjalanan kita ini masih jauh.

Jadi apa yang hendak kita buat? Pertama, dalam syukur kita kepada Allah, marilah kita menerima bahawa apa yang telah disuratkan kepada kita itu ada hikmahnya. Di sana mungkin apa pengajaran dan amaran yang hendak Allah SWT berikan kepada kita? Ya, pengajaran agar selepas ini dalam apa juga yang kita lakukan, kita lakukan dengan bersungguh-sungguh, memberi tumpuan dan menggandakan usaha.

Kedua, renungkanlah ke dalam diri. Apakah bakat dan kebolehan yang kita ada? Apa yang kita boleh buat? Ya, mungkin jawapannya kita mahir dan minat dalam bidang elektronik. Mungkin kita minat membaiki motosikal atau kereta. Mungkin kita minat menangkap ikan, ayam hutan dan sebagainya. Ya, tanyakan dalam diri apa yang kita minat dan apa yang kita boleh buat. Lalu, dengan minat dan kebolehan atau kepakaran yang kita ada, teruskan menggilap minat dan kecenderungan kita itu.

Usahakan bersungguh-sungguh dengan bantuan ibu bapa, bekas guru-guru di sekolah umpamanya, kenalan-kenalan kita atau sanak-saudara agar kita dapat mengembangkan minat dan kecenderungan kita menjadi satu kerjaya! Ya, jadikan minat dan kepakaran atau kebolehan kita itu sebagai kerjaya!

Saya minat menulis dan fotografi. Dulu, keputusan SPM saya juga tidak memberangsangkan. Saya sudah menanam cita-cita pada waktu itu jika keputusan saya untuk memasuki mana-mana universiti ditolak, saya putuskan untuk menulis (waktu itu saya ada sebuah mesin taip), kemudian mengerjakan tanah kosong di belakang rumah dengan berkebun dan menanam sayur-sayuran dan membuat kerja-kerja fotografi. Itu yang saya rasa saya boleh buat. Alhamdulillah, sampai ke hari ini saya masih menulis dan masih melakukan kerja-kerja fotografi walaupun takdirnya saya sebenarnya telah diterima masuk ke Universiti Malaya dan kini mempunyai pekerjaan dengan sebuah syarikat perundingan.

Ketiga, motivasikan diri. Ini penting sebenarnya. Kegagalan sekali dalam SPM bukanlah bermakna “dunia sudah kiamat!” Gagal dalam SPM bukanlah bermakna kita gagal segala-galanya. Dunia dan masa depan menjadi gelap, tidak. Ya, katakan tidak kerana kita yang perlu menentukan kehidupan kita pada masa akan datang sebenarnya.

Belajarlah untuk menjadi seseorang, yakin kepada diri dan teruskan bertindak dan berusaha. Ya, gagal dalam SPM bukan bermakna jalan kita ke syurga sudah tertutup. Kita bina “jalan lain” ke syurga.

Kisah Tempayan Yang Retak

Seorang tukang mengangkut air (tukang air) mempunyai dua buah tempayan besar; yang kedua-dua tempayan itu dipikul pada pengandar secara bersilang pada bahunya. Satu daripada tempayan itu retak, sedangkan tempayan yang satunya lagi tidak.

Tempayan yang elok selalu dapat membawa air dengan penuh walaupun melewati perjalanan yang panjang dari mata air sehinggalah ke rumah majikannya; manakala tempayan yang retak pula hanya dapat membawa air separuh sahaja apabila sampai ke rumah majikannya.

Hal ini terjadi setiap hari selama dua tahun. Si tukang air hanya dapat membawa satu setengah tempayan air ke rumah majikannya. Tentu sahaja si tempayan yang elok merasa bangga akan prestasinya; dapat membawa air yang banyak dan penuh setiap masa dan menunaikan tugas dengan sempurna. Di pihak yang lain, si tempayan retak merasa malu sekali kerana akibat ketidaksempurnaannya (keretakannya) ia hanya dapat memberikan setengah sahaja air setiap kali si tukang air mengangkut air.

Setelah dua tahun tertekan oleh kegagalannya, maka tempayan yang retak pun berkata kepada si tukang air, “Saya sungguh malu kepada diri saya sendiri dan saya memohon maaf yang sebesar-besarnya”.

“Kenapa?” tanya si tukang air, “mengapa kamu berasa malu?”

“Selama dua tahun, setiap hari saya hanya mampu membawa separuh sahaja air ke rumah majikan kita. Adanya keretakan pada sisi saya menyebabkan air yang saya bawa bocor di sepanjang perjalanan menuju ke rumah majikan kita. Kerana cacatku itu, telah membuatkan kamu rugi wahai si tukang air”, jawab si tempayan retak.

Si tukang air berasa kasihan kepada tempayan retak. Dalam belas kasihannya itu dia menjawab; “Apakah kamu tidak memperhatikan adanya bunga-bunga yang cantik dan indah sekali di sepanjang perjalananmu menuju ke rumah majikan kita ini? Dan pada sebelah jalan tempayan yang elok itu perasankah kamu bahawa tidak ada pula bunga yang cantik-cantik? Itu kerana aku menyedari kecacatanmu dan aku memanfaatkannya. Aku telah menanam benih-benih bunga di sepanjang perjalanan di sisimu dan setiap hari jika kita berjalan pulang dari mata air, kamu telah mengairi benih-benih itu. Selama dua tahun ini, aku telah dapat memetik bunga-bunga yang cantik dan indah untuk menghias meja majikan kita. Tanpa adanya kamu, majikannya tidak akan dapat menghias rumahnya seindah sekarang ini”.

Apakah ibrah dan pengajaran yang kita dapat daripada kisah ini?

Pertama, setiap orang mempunyai kelebihan dan setiap orang mempunyai kekurangannya masing-masing. Kita mungkin “lebih” dalam hal-hal tertentu, tetapi kita juga “kurang” dalam hal-hal yang tertentu. Kita mungkin pakar dan tahu dalam sesuatu perkara, tetapi dalam perkara yang lain pula mungkin kita tidak begitu pakar atau tidak begitu tahu.

Justeru, bergabung dan berkawanlah seramai mungkin untuk menjadikan kita lebih kuat, untuk menjadikan kita lebih tahu. Kerana, kita tidak lebih dan kuat sentiasa. Kerana kita juga tidak sentiasa tahu semua benda dan perkara. Apa yang kita tahu, orang lain mungkin tidak tahu. Apa yang kita tidak tahu pula, orang lain mungkin tahu dan boleh menolong kita. Maka kita sewajarnya saling melengkapi.

Kedua, walaupun kita kekurangan [kecacatan / bocor dalam konteks kisah tempayan retak ini] kekurangan itu sebenarnya juga boleh kita manfaatkan dalam bentuk yang lain. Tanpa disedari, tempayan yang retak itu sebenarnya secara tidak sedar telah menyirami benih-benih yang ditanam oleh si tukang air sehingga benih dan tanaman bunganya menjadi begitu subur kerana disiram setiap hari.

Ketiga, kita mungkin mempunyai satu kekurangan, tetapi harus diingat bahawa kita mungkin “kurang” dalam sesuatu hal, tetapi kita juga mungkin mempunyai kelebihan lain. Orang yang cacat penglihatan umpamanya, dia mungkin hanya tidak dapat melihat, tetapi dia juga mungkin lebih terang “mata hatinya”, hatinya lebih jernih dan terang: mudah dapat apa yang dipelajari. Daya sentuhan atau daya merasanya mungkin lebih kuat daripada kita yang biasa.

Ada orang dilahirkan tanpa kedua-dua belah tangan, tetapi dia juga adalah pelukis yang hebat dan menghasilkan lukisan-lukisan yang agung yang [malah] mengatasi orang yang lebih sempurna pun: dia rupanya melukis dengan menggunakan kaki!

Justeru, ambillah iktibar dan ibrah daripada kisah tempayan retak ini.

Bersyukurlah: Kita Sentiasa Bernasib Baik

“Syukur, alhamdulillah!” Demikian perkataan yang sering terlontar dari mulut kita apabila kita rasa “berterima kasih” kepada Allah SWT. Alhamdulillah: segala puji bagi Allah, menjadi kalimat yang sangat berhikmah mengiringi rasa syukur kita itu.

Dan selalunya juga kita bersyukur atas segala nikmat, kesenangan dan kegembiraan yang kita terima.

Apabila kita makan [makan makanan yang sedap-sedap], sesudahnya kita iringi dengan syukur. Apabila kita mendapat kenaikan gaji atau pertambahan pendapatan; syukur. Apabila kita memperoleh anak; syukur. Apabila kita dipermudahkan sesuatu urusan; syukur. Apabila kita memperoleh kejayaan; syukur. Dapat beli kereta; syukur. Dapat beli rumah; syukur. Tidur dan dapat bangun lagi pagi tadi; syukur.

Pendek kata, kita sentiasa bersyukur atas “kemudahan”, “kelebihan”, dan “pertambahan” yang kita terima. Kita bersyukur atas kegembiraan, kesenangan dan kebahagiaan yang kita kecapi. Namun, bagaimanakah pula apabila kita menerima sesuatu yang menyedihkan, mengecewakan atau kehilangan misalnya. Ia sesuatu yang secara materi atau lahiriahnya kita kekurangan, kita kehilangan dan bukan memberi kegembiraan atau kesenangan pun sebenarnya.

Contohnya begini. Cuba bayangkan beberapa situasi ini. Pertama, keempat-empat tayar kereta anda hilang di suatu tempat parkir. Kedua, anda kehilangan selipar ketika solat di masjid. Ketiga, anda tersekat dalam kesesakan jalan raya atau pun tayar kereta anda pancit ketika bergegas untuk satu urusan penting. [Banyak lagi contoh lain, cuma dalam konteks ini, cukuplah saya catatkan hanya tiga contoh di atas sahaja.]

Ya, bagaimanakah kita hendak menyatakan syukur dalam konteks tiga insiden di atas?

Pertamanya sudah tentulah bagi kita menerima dengan hati yang terbuka, prasyaratnya kita perlu insaf dan sedar bahawa itulah kejadian yang telah ditentu dan ditetapkan kejadiannya seperti itu.

Apa yang hendak saya katakan sebenarnya mudah sahaja: kita ini sebenarnya sentiasa bernasib baik dan kita banyak bernasib baik dalam setiap keadaan dan ketika walaupun memanglah pada waktu-waktu tertentunya tetap ada orang yang tidak bernasib baik.

Kenapa kita bernasib baik? Ya, kalau dalam insiden pertama sebagai contoh, yang hilang ialah keempat-empat tayar kereta sahaja. Yang hilang ialah tayar, nasib baik kereta tidak hilang. Kalau kereta yang hilang tetapi bagaimana? Kalau kereta yang hilang bukanlah kita lebih malang lagi? Atau kalau tayar sahaja yang ditinggalkan pencuri, keretanya hilang, pun kita akan susah juga.

Dalam situasi kedua, pun kita bernasib baik juga kerana yang hilang ialah selipar, bukannya kereta! Dalam situasi ketiga tayar kereta pula pancit atau kita tersekat dalam kesesakan ketika bergegas ke sesuatu tempat. Nasib baik juga kita tersekat dalam kesesakan atau tayar pancit kerana kalau tidak mungkin disebabkan kerana kita bergegas, kita mungkin akan terlibat dalam kemalangan; melanggar kereta orang, terbabas dan sebagainya.

Ya, semua itu pun kita perlu bersyukur! Syukurlah kerana yang hilang hanya tayar kereta dan bukan keretanya yang hilang. Syukurlah kerana yang hilang hanya selipar bukannya kereta. Syukurlah, kerana jalan sesak atau tayar pancit kerana di sana adanya kemalangan atau tanah runtuh dan sebagainya.

Syukurlah!

Ada orang yang merancang perkahwinan, kemudian disiapkan dengan segala persiapan; dengan jemputannya, dengan persiapan kendurinya dan pelbagai, akhirnya tiba waktu yang dirancangkan, perkahwinannya tidak dapat berlangsung atas sebab si lelaki menghilangkan diri misalnya. Siasat punya siasat, rupanya si lelaki sudah pun berumah tangga atau terlibat dengan kegiatan jenayah misalnya. Syukurlah!

Ya, syukurlah kerana kita hanya hilang kereta, ada orang yang lebih berat penanggungannya seperti hilang semua anak dalam tsunami atau kemalangan jalan raya umpamanya! Ya, bersyukurlah kerana kita hanya hilang selipar, bukannya kehilangan ahli keluarga! Ya, syukurlah kerana kita susah dan miskin tetapi ada orang yang kebuluran kerana di negaranya tidak ada apa yang hendak di makan. Ya, syukurlah kita di sini masih boleh memilih apa yang hendak di makan sedangkan ada orang yang tidak boleh memilih pun apa yang hendak dimakannya!

Ini contoh sahaja. Banyak lagi peristiwa lain yang sebenarnya mungkin pada lapisan pertamanya kita melihat ia sebagai suatu kerugian, suatu kekurangan dan suatu kehilangan, tetapi apabila kita renungkan, kita fikirkan ia sebenarnya adalah hikmah yang tersembunyi dan hikmah itulah yang perlu kita cari dan hayati.

Hikmah ini datangnya dari petunjuk Allah SWT. Maka bersyukurlah kita selalu kerana kalau kita merasakan kita tidak bernasib baik, sebenarnya masih ada lagi orang lain yang lebih tidak bernasib baik jika dibandingkan dengan nasib kita. Alhamdulillah!

Jeram: Ibrah Keharmonian Dalam Kehidupan

Kita tentu biasa dengan jeram dan air terjun. Atau setidak-tidaknya kita juga biasa dengan sungai: bermandi-manda, menangkap anak-anak ikan dan mencari udang di celahan batu.

Sungguh indah dan sangat mempersonakan pemandangan apabila kita berada di tepian jeram atau di tepi sungai yang penuh dengan batu-batuan. Airnya yang jernih, desir aliran airnya apabila merempuh batuan, menghasilkan bunyi yang menenangkan.

Di jeram, di sungai sunnatullah berlaku dengan ketetapan dan aturan yang sangat harmoni, indah dan sesekali tidak ada keingkaran padanya. Ya, jika sungai dan jeram itu begitu, maka begitulah dia: kekal indah, kekal harmoni dan kekal dengan aturan, amanah dan tanggungjawabnya. Di sana tidak ada perkelahian, di sana tidak ada pertentangan.

Keindahan dan kaharmonian di jeram ini hanya akan terganggu malah boleh musnah apabila “tangan-tangan manusia” mula mencampurinya. Pencemaran alam: demikian kita manusia juga menamakan hasil dari perbuatan dan tindakan buruk kita sendiri mengganggu dan merosakkan alam yang indah dan harmoni.

Air sungai dan jeram mengalir dari hulu ke hilir. Air sungai datangnya dari atas gunung, dari atas bukit lalu mengalir ke sungai-sungai menuju ke muara, ke laut. Ia adalah satu perjalanan yang panjang. Perjalanan aliran air dari hulu, dari atas gunung, dari atas bukit dan kemudiannya turun ke kawasan yang lebih rendah. Dalam perjalanannya ia merempuh, menempuh batu-batuan, kayu-kayuan dan semak-samun. Maka terolenglah ia (air) ke kanan dan kekadang ke kiri. Ada kalanya ia melambung dan kemudiannya terhempas pula ke atas batu-batuan. Kemudian terdorong pula merempuh tebing.

Namun, air tidak pernah mengeluh. Jeram tidak pernah mogok “melaksanakan amanah dan tanggungjawabnya”. [Bagaimana kalau sungai atau jeram mogok atau berhenti mengalir?]

Dan, dalam perjalanan jeram yang panjang yang penuh dengan pelbagai halangan dan rintangan itu, ia sempat pula berbakti dan menabur jasa. Ikan, ketam batu, udang dan pelbagai kehidupan air hidup di dalamnya. Air itu juga, kemudiannya pula menyuburkan pelbagai tumbuh-tumbuhan, tanam-tanaman dan sayur-sayuran sang petani.

Wahai, bagaimanakah manusia tidak dapat mengambil ibrah dan pengajaran daripada semua ini? Ibrah dan pengajaran untuk apa? Ibrah dan pengajaran setidak-tidaknya untuk meneruskan kehidupan. Ya, hidup perlu diteruskan. Dalam hidup dan kehidupan ini kita sentiasa berhadapan dengan pelbagai ujian, dugaan, rintangan dan halangan.

Mengambil sifat air di jeram itu, apakah kita harus tewas dan mengalah apabila berhadapan dengan ujian, dugaan, rintangan dan halangan? Tidak. Air di jeram itu tetap juga mengalir, tetap juga mengikut aturan dan sunatullahnya. Air tetap juga sifatnya sejuk dan menyejukkan. Ia juga lembut lagi melembutkan. Namun, bagaimanakah air dapat membentuk kesatuan, keharmonian dan kesejahteraan dengan batu-batuan yang keras dan perkasa, merempuh kayu-kayuan yang cekal dan tegar? Sekalipun dalam laluannya, air tersekat dengan batu, tersekat dengan sampah-sarap, tersekat dengan kayu-kayuan, dengan sifatnya mengalir, maka ia akan terus mengalir; mencari lubang dan celah untuk menembusi dan melalui demi meneruskan “kehidupannya”.

Justeru, kita sebagai manusia yang mempunyai otak dengan kekuatan akal fikirnya, apakah kita tidak dapat berfikir untuk terus meneruskan hidup dan kehidupan ini apabila berhadapan dengan ujian, dengan dugaan, dengan masalah atau dengan pelbagai rintangan dan dugaan lagi?

Demikianlah sewajarnya kita mengambil ibrah dan pengajaran daripada jeram ini. Teruskanlah hidup dan kehidupan kita dengan mengambil makna dan hikmah daripada setiap ujian, dugaan, rintangan dan halangan yang berlaku dalam hidup kita. Berikan warna dan makna kepada hidup kita dengan ujian, dugaan, rintangan dan halangan yang kita hadapi itu. Sebagaimana air (jeram) menerima sunnatullahnya, maka demikianlah kita perlu memaknakan dan mengertikan ujian dan dugaan dalam hidup kita kerana begitulah namanya kehidupan.

Ada sesetengah di kalangan kita tidak dapat menerima perjalanan hidupnya bertempuh dengan ujian, bertempuh dengan dugaan, dengan rintangan dan dengan halangan. Ambillah sifat dan ibrah daripada air dan jeram. Teruslah mengalir, teruskan kehidupan dengan mencelah, merempuh, menerobos dan melimpahi apa sahaja dengan “memasak” ujian dan dugaan yang menimpa.

Jika ibrah ini dapat kita hayati, insya’allah kita akan semakin matang dan semakin menjadi manusiawi iaitu masak dan matang dengan ujian, dugaan dan segala masalah yang kita hadapi dalam hidup kita.

Hendak Yang Sedap-sedap Sahaja

Apabila kita hendak makan, nafsu makan kita akan hanya memilih makanan yang sedap. Itu normal. Memang pelik kalau kita memilih untuk makan makanan yang tidak sedap.

Kalau mahu makan di gerai atau restoran, kita biasanya akan bertanya mana-mana restoran dan gerai yang menyajikan makanan yang sedap. Kita juga akan menonton rancangan masakan, previu gerai dan restoran yang semuanya menghidangkan makanan yang sedap-sedap belaka.

Ops, saya bukan hendak berbicara tentang menyediakan makanan yang sedap-sedap di sini. Maaf, saya angkat tangan bab masak-memasak yang sedap-sedap ini. Mencuba resepi itu dan ini yang dikutip di akhbar dan majalah adalah hobi saya semasa zaman bujang dahulu. Dahulu.

Relatifnya, makanan yang sedap itu bagaimana? Apa rasanya? Bagaimana kita mentakrif makna dan rasa sedap itu?

Begini. Apabila kita makan makanan yang sedap, sedap itu datangnya dari pelbagai rasa bukan? Sedap tidak pada rasa manis sahaja. Kalau manis itu sedap, maka kita makan gula sahaja; sebab gula manis, sebab gula sedap. Sedap juga tidak pada rasa masin sahaja. Kalau masin itu sedap, maka kita makanlah garam sahaja; sebab garam masin, sebab garam sedap. Sedap juga tidak pada rasa pedas sahaja. Kalau pedas itu sedap, maka kita makanlah cili sahaja; sebab cili itu pedas, sebab cili itu sedap.

Habis, yang sedap itu apa? Makanan yang rasa sedap itu apa? Makanan yang rasa sedap itu bagaimana?

Biasanya makanan yang sedap adalah gabungan pelbagai rasa. Itu asasnya. Makanan yang sedap ada rasa manisnya. Makanan yang sedap ada rasa masinnya. Makanan yang sedap ada rasa pedasnya. Makanan yang sedap ada pelbagai rasa. Rasa di sini boleh jadi pelbagai bahan, pelbagai rempah, pelbagai perisa yang diadun, diolah dan dimasak untuk menjadikan sesuatu makanan itu sedap.

Justeru, rasa manis, rasa masin, rasa masam, rasa pedas, rasa pahit dan pelbagai rasa; semuanya itu sedap mengikut jenis makanannya dan konteks penggunaannya.

Jadi apa yang dapat kita belajar dari makanan yang sedap-sedap ini?

Andai memakan makanan yang sedap adalah analogi kehidupan, maka kepelbagaian rasa itu adalah penyedap kehidupan kita sebenarnya. Kepelbagaian rasa itulah yang menjadikan hidup kita ini sedap, bermakna, bererti dan mengisi hidup dan kehidupan kita.

Bagaimana?

Bukankah dalam hidup dan kehidupan kita, kita akan mengalami rasa gembira, sedih, kasihan, pilu, terharu, seram, ngeri, teruja dan pelbagai perasaan yang wujud dalam diri dan jiwa kita. Ada masanya kita gembira lalu kita ketawa, senyum dan geli hati. Ada masanya pula kita bersedih, menangis dan berhiba. Ada masanya kita ditimpa kesusahan, diuji dengan kesulitan dan kepayahan, lalu kita rasa takut, tertekan dan stres.

Jadi, kalau kita balik kepada relatif sedapnya kita memakan makanan yang sedap itu adalah kerana kita bersetuju bahawa sedap itu adalah datangnya dari pelbagai rasa, maka sewajarnya juga kita menerima pelbagai perasaan dalam kehidupan kita itu sebagai penyedap kehidupan.

Kepelbagaian rasa itulah yang menyedapkan hidup kita. Kepelbagaian rasa itulah yang menjadikan hidup kita bermakna, berisi dan penuh dengan hikmah, ibrah dan pengajaran. Semuanya kita terima dengan positif, berlapang dada dan dengan hati yang terbuka bahawa setiap kejadian yang kita lalui dan berlaku dalam kehidupan kita adalah ketentuan dan aturan Allah Subhanahu Wata’ala..

Kita tidak mudah berpatah hati, kecewa atau putus asa hanya jika pada waktu itu kita ditimpa kemalangan yang menguji dan menduga kita. Ya, namanya pun ujian dan dugaan. Kita akan menjadi lebih positif menerima apa sahaja yang berlaku kerana kita faham dari kepelbagaian rasa dan situasi yang sedang kita depani inilah yang akan mematangkan kita dan mendidik jiwa kita menjadi lebih manusiawi misalnya.

Kita matang untuk mendepani kehidupan bahawa sedapnya hidup ini, bermaknanya hidup ini bukan pada rasa yang menjadikan kita gembira semata-mata. Sedapnya hidup ini, bermakna hidup ini juga ada pada rasa dan situasi sedih, kecewa, takut, seram dan sebagainya itu.

Ya, kita menikmati makan dengan memakan makanan yang sedap-sedap. Maka, nikmatilah hidup dan kehidupan ini dengan rasa dan perasaan yang sedap-sedap juga. Maknakan kesedapan hidup ini dengan kepelbagai situasi, mehnah dan juga tribulasi yang wujud dalam kehidupan ini.

Kita memang hendak yang sedap-sedap sahaja. Namun, untuk mendapatkan yang sedap-sedap itu, kita perlu MEMASAK pelbagai rasa, perasaan dan situasi yang ada untuk menjadikannya sedap.

Kalau Selipar Hilang Semasa Solat Jumaat

Beberapa minggu yang lepas selipar saya hilang ketika menunaikan solat Jumaat di Masjid Pangkalan Udara Subang. Ya, “selipar Jepun” yang biasa itu. Cuma, selipar itu kelihatan baru (dibeli beberapa bulan lepas dan hanya dipakai sewaktu hendak ke masjid untuk bersolat Jumaat sahaja).

Puas mencari dan meninjau, akhirnya saya memutuskan untuk berkaki ayam saja ke kereta yang diparkir jauh dari masjid. Terjingkit-jingkit kaki saya didera haba panas simen dan tar tapak parkir. Hanya Tuhan saja yang tahu betapa terseksa dan menderitanya kaki saya. Tidak ubah macam berjalan di atas bara api. Sungguh, melepuh dan melecur tapak kaki saya yang mulus: kemerahan dan kemudiannya mengelembong dengan air bisa beberapa jam kemudian.

Isteri membebel apabila saya ceritakan kejadian yang berlaku selepas solat Jumaat pada hari itu. Dia tidak dapat menerima bagaimana dalam keadaan semua orang ke masjid dengan tujuan baik; bersolat  Jumaat, kemudian selepas solat, boleh pula kebas selipar orang.

Walaupun ada rasa kecewa dan terkilan dalam hati, saya berusaha mengikis perasaan itu dan memujuk untuk membuangnya jauh-jauh. Kenapa? Kerana saya menerima itu sebagai ibrah dan hukuman ke atas dosa-dosa yang telah saya lakukan selama ini.

“Biarlah, kita anggaplah sebagai sedekah saja kepada orang yang mengambil selipar itu. Mungkin dia yang lebih memerlukan selipar itu. Siapa tahu dia ada kemudaratan dan masalah yang memaksanya mengambil selipar itu. Mungkin juga orang meminjamnya untuk ke tandas dan bilik air”, kata saya.

Allahu akbar! Allah Maha Besar dan Allah juga Maha Mengetahui. Apa yang dapat saya belajar daripada peristiwa kehilangan selipar di masjid ini?

Ingatan saya terhimbau pada suatu tazkirah yang saya dengar di corong radio ketika berkereta awal pagi ke pejabat pada suatu pagi. Tazkirah itu berkisah sekitar peel dan sifat orang yang hendak ditemuduga untuk mendapatkan kerja. Lihat saja bagaimana orang yang hendak pergi bertemuduga. Dia akan mengenakan pakaian yang paling cantik dan kemas. Bertali leher, kasut berkilat, baju dimasukkan ke dalam seluar, berseterika kemas. Rambutnya disisir rapi, penampilannya dijaga serta serba-serbinya kemas.

Maka, ketika kita hendak berjumpa dengan Allah pula, apakah semua itu kita pentingkan? Ketika hendak bersolat, tidak kiralah sama ada solat fardhu lima waktu atau bersolat Jumaat, adakah kita [saya] mengambil kira penampilan, cara berpakaian dan persediaan diri yang wajar? Bukanlah solat ialah menghadap dan menemui Tuhan? Sedangkan hendak berjumpa dengan manusia kita lagikan menjaga penampilan dan cara berpakaian, inikan pula hendak berjumpa dan menghadap Allah Subhanahu Wata’ala.

Ya, saya insaf bahawa ketika ke pejabat, saya berkasut kulit yang berkilat, tetapi apabila ke masjid, saya hanya berselipar Jepun sahaja. Mungkin Allah mahu memberi peringatan dan amaran-Nya kepada saya agar lebih berjaga-jaga dalam penampilan diri untuk menemui-Nya.

Kedua, rakan saya yang turut serta berkereta bersama ke solat Jumaat petang itu berkata kepada saya begini: “Nizam, anta niat sedekahkan saja selipar itu. Ia lebih baik begitu kerana sesiapa saja dan di mana saja orang memakai selipar itu, anta akan memperoleh pahala sedekah kerana memberi kebaikan kepada si pemakainya. Selipar anta itu telah melindungi dan menyelamatkan kaki si pemakainya daripada kotoran dan bahaya. Soal dia mencuri dan memiliki barang yang bukan miliknya itu kita serahlah kepada Allah”.

Ketiga, apa yang berlaku sebenarnya adalah ujian dan dugaan dari Allah. Ya, kejadian kehilangan selipar dalam keadaan seperti itu sebenarnya satu ujian. Allah mahu menduga keimanan dan ketakwaan kita kepada-Nya. Bagaimana, jika dengan ujian dan dugaan yang sangat kecil begitu, kita membebel, mengutuk dan membesar-besarkannya sehingga menjadi gunung; di manakah nilai iman dan takwa kita. Di manakah nilai iman bahawa Allah itu Maha Besar, Maha Agung dan Maha Berkuasa? Dengan hanya ujian yang sekecil itu saja kita sudah tewas?

Keempat, pada ketika kaki saya menitip di atas kerikil bertar dan bersimen yang panas [sehingga menyebabkan tapak kaki saya melepuh] mengingatkan saya kepada “maha” panasnya api neraka kelak! Apa yang berlaku kepada saya, saya bukannya berjalan di atas api, hanya berjalan di atas kepanasan. Jika itu pun saya sudah berasa terseksa dan sakit, wahai… mampukah lagi untuk saya berterus-terusan bergelumang dan berada di dalam dosa untuk “mencabar” ngeri neraka? Allahu akbar! Demikian, saya anggap ia sebagai amaran dan peringatan Allah.

Subhanallah, saya insaf dan akur bahawa sesungguhnya setiap apa yang berlaku, walaupun kecil tetap membawa hikmah dan sebab-musababnya yang banyak dan bermanfaat; terpulang dari sudut mana dan dengan perasaan yang bagaimana kita mahu melihatnya.

Demikianlah kalau selipar hilang semasa solat Jumaat.