Sekarang ini di media-media massa arus perdana dan juga di media-media sosial, orang sibuk bercakap tentang Nurul Izzah Anuar. Ya, tentang Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu yang dikatakan telah membuat kenyataan tentang kebebasan beragama di negara ini.

Ops… Saya tidak hendak bercakap tentang kenyataan Nurul Izzah itu. Saya yakin dan percaya masih ramai lagi “pakar-pakar” yang sangat berautoriti sudah saban hari mengulas dan memberi komentar tentang isu tersebut. Pakar-pakar dalam agama (dan tidak kurang juga pakar-pakar dalam politik) menghentam Nurul yang dikatakan “menggalakkan murtad” di kalangan orang Melayu. Semuanya gara-gara ungkapan di bawah ini:

Apabila anda bertanya saya, tiada paksaan dalam beragama… mengapa sesetengah pihak rasa bersalah, perkara ini (kebebasan beragama) hanya terpakai kepada orang bukan Melayu, sepatutnya diguna pakai secara sama-rata.”

Atau dalam versi asalnya Bahasa Inggeris, berbunyi begini:

When you ask me, there is no compulsion in religion… how can anyone say sorry, this (religious freedom) only applies to non-Malays, it has to apply equally.”

Nah, itulah kenyataan “rasmi” Nurul Izzah dalam forum “Negara Islam: Versi Mana, Siapa Bertanggungjawab?” yang diadakan pada 3 November lalu. Kenyataan Nurul itu adalah respon beliau kepada soalan salah seorang peserta forum yang bertanya sama ada orang Melayu perlu diberikan kebebasan beragama seperti orang bukan Melayu.

Saya juga yakin dalam zaman teknologi dan perkembangan media sosial, kita dapat mengakses video kenyataan Nurul ini di mana-mana saja di internet, dan buatlah penilaian anda sendiri.

Berbalik kepada kata bidalan di atas, saya perturunkan sepenuhnya di sini: “terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya.” Saya hanya hendak bercakap tentang ini. Iaitu tentang kata, atau kata-kata. Saya masih ingat ketika belajar Bahasa Melayu di sekolah menengah dan juga pengajian Sastera, khususnya penulisan puisi, kita akan ditekankan dengan diksi, iaitu pemilihan kata.

Hendak menulis puisi malah hendak menulis cerpen, novel dan pelbagai karya kreatif lain [malah tidak terkecuali penulisan ilmiah] pemilihan kata amat penting. Kita juga biasa mendengar ungkapan “bahasa jiwa bangsa”. Malah kita juga biasa apabila orang mengatakan bahawa akhlak dan peribadi seseorang tercermin melalui tutur kata atau budi bahasanya, budi bicaranya.

Dalam kes Nurul Izzah [malah dalam kebanyakan kes ahli-ahli politik yang lain juga, malah artis juga] seringkali berlaku situasi “terlajak kata” ini. Anehnya, seringkali juga berlaku apabila suatu ungkapan atau kata-kata itu sudah dilaporkan atau sudah disiarkan di media atau sudah divideokan kepada umum, si perucap akan tampil mengatakan bahawa “itu bukan maksud sebenar saya.” Atau “saya tidak bermaksud seperti itu”, “kata-kata itu bukan maksud sebenar dari lubuk hati saya”. Kata-kata penafian ini seringkali kita dengar dari mulut ahli-ahli politik dan juga artis.

Wahai… tolonglah ambil pengajaran wahai ahli-ahli politik dan juga artis dan juga orang-orang awam bahawa apa yang kita cakap, itulah yang akan ditafsir dan diambil maksudnya oleh khalayak pendengar. Sebagai pendengar kita tidak tahu apa yang ada dalam lubuk hati atau dalam kepala otak si perucap. Jika itu yang kita perkatakan, maka itulah yang akan difahami oleh pendengar. Berkatalah dengan jelas. Hati-hati memilih perkataan. Hati-hati apabila hendak bercakap. Fikir dahulu baharu bercakap. Usah “sudah terhantuk, baru terngadah”.

Dengan andaian kenyataan Nurul Izzah itu tulus dalam erti kata tidak ada “perancangan tersurat”, maka saya seperti juga rakyat biasa yang lain akan memahami kenyataan Nurul Izzah itu bahawa orang-orang Melayu juga perlu dibenarkan “bebas beragama”. Itu yang saya faham dalam konteks mendengar ungkapan dan kata-katanya itu. Dan jika pemahaman ini memberikan impak negatif kepada perucapnya, maka si perucap perlu bertanggungjawab. Jika salah meminta maaf saja.

Sebagai perucap, lebih-lebih lagi sebagai seorang pemimpin, yang memimpin rakyat di bawahnya, maka kata-kata sang pemimpin ini sangat memberi kesan kepada rakyat. Ya, saya bersetuju bahawa semua orang tidak mengira sesiapa saja wajar membuat ucapan, kata-kata atau bercakap dalam bahasa yang dia hendak orang faham itu adalah selaras dengan apa yang difikirkan atau dirasakan dalam hatinya. Hati-hati menuturkan kata-kata. Biarlah diksinya tepat supaya tafsirannya juga tepat.

Ya, terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya. Kerana pulut santan binasa, kerana mulut badan binasa.

Kecualilah sebenarnya kita berkata-kata dengan sengaja untuk mewujudkan PERSEPSI!

About these ads