Duit atau wang rupanya menjadi “kuasa” yang sangat besar dalam kehidupan di dunia ini, kini. Sehingga kerana “kekuasaan dan kebesarannya”, duit dianggap segala-galanya iaitu sebagai perantara untuk mendapat dan memperoleh segala-galanya. Sehingga orang kadangkala lupa dan tenggelam lantas menganggap apa saja yang dilakukan adalah untuk duit. Segala-galanya kerana duit!

Sehinggakan juga, duit daripada perantara untuk mencapai atau mendapatkan sesuatu, duit juga bertukar menjadi matlamat. Ya, matlamatnya adalah duit dan wang. Apa saja yang dia lakukan, adalah untuk mendapatkan duit sahaja. Hanya itu sahajalah dilakukan. Buatlah apa pun dan katalah apa pun, asalkan ia mendatangkan duit, maka dia akan melakukannya.

Di sini saya tidak akan membicarakan duit sebagai matlamat atau kenapa orang menjadikan duit sebagai matlamat. Cuma kali ini saya hanya mahu melihat duit sebagai sebuah kapal layar yang berlayar di sebuah lautan. Saya pernah bersama dengan seorang tabligh. Pengalaman berkereta dengannya hampir separuh hari membuatkan banyak perkara yang saya dapat belajar dengannya. Pandangan dan pendapatnya tentang duit sungguh memberi kesan kepada saya sehingga saya mahu mencoretkannya di sini.

Katanya diri kita (manusia) ini ibarat kapal layar sahaja dan duit atau wang itu ibarat air laut. Katanya, perhatikan bagaimana kapal berlayar di lautan. Perhatikan bagaimana perahu atau sampan berlayar di sungai-sungai. Perahu, sampan, feri, motorbot atau kapal tidak dapat bergerak tanpa air. Begitulah kehidupan pada masa kini.

Dalam kehidupan pada masa kini kita memerlukan duit atau wang. Seperti kenderaan-kenderaan air yang disebutkan tadi, ia tidak dapat bergerak jika tiada air, sama jugalah dengan kehidupan yang mungkin sukar hendak diteruskan jika tidak ada duit.

Cuma, kata pengamal tabligh tadi lihat juga sebanyak mana air yang diperlukan untuk bergerak. Kalau kita hanya sampan atau perahu sahaja, kita mungkin tidak memerlukan air yang banyak untuk bergerak, malah kita juga mungkin tidak dapat membawa sampan atau perahu ke tengah lautan (yang airnya banyak) kerana mungkin sampan atau perahu tersebut hanya akan karam sahaja nantinya.

Tetapi, kapal layar atau kapal moden yang besar-besar masa kini, sudah tentu ia memerlukan air yang lebih banyak untuk bergerak. Kapal yang besar itu tidak dapat bergerak jika ia hanya di sungai atau tasik yang kecil sahaja. Dengan kapasitinya yang besar ia memerlukan ruang yang luas, besar serta air yang banyak dan dalam.

Justeru, kalau kita tanyakan kepada diri kita, adakah kita dan kehidupan kita ini hanya seperti sebuah sampan, perahu, rakit atau kapal? Maknanya kita tanyakan kemampuan kita supaya kita yang menentukan kewangan hidup kita, bukannya kewangan yang menentukan hidup kita.

Kalau kita hanya sampan atau perahu, buat apa kita mengambil risiko berlayar di lautan yang dalam dan luas kerana akhirnya mungkin maut saja yang kita tempah. Kalau dalam hidup kita memang kita mengendalikan kapal-kapal yang besar iaitu mempunyai perniagaan yang besar, maka layaklah kita belayar di lautan yang luas dan dalam itu.

Falsafah daripada tamsilan kenderaan air dengan kuantiti air ini memberikan kita ibrah dan pengajaran bahawa kita tidak semestinya memerlukan wang yang terlalu banyak dalam hidup kita. Ia bergantung kepada keperluan dan kemampuan kita untuk meneruskan hidup itu sendiri. Kita sendiri yang perlu menentukan jalan dan cara untuk kita belayar atau berada di atas air itu. Kalau kita hanya mengikut air atau mengikut arus, itulah yang sering membawa kita kepada jalan yang sesat dan akhirnya kita menjadi karam dan lemas.

Sama ada sampan, perahu, rakit, motorbot, kapal layar, kapal dan segala macam kenderaan air yang lain, ia tetap berhadapan dengan arus, gelora atau ombak. Ini cabaran berduit! Dalam bersampan atau berperahu di sungai-sungai, kita selalunya mengelak menongkah arus kerana kita tahu penat, payah dan susahnya untuk mengendalikan perahu atau sampan dalam keadaan menongkah arus. Lainlah kalau kita mempunyai enjin yang tidak memerlukan kudrat kita untuk mendayung. Kapal di lautan juga berhadapan dengan gelora dan ombak. Ada kalanya ombak menjadi besar malah menjadi tsunami sehingga kapal-kapal besar juga boleh menjadi karam.

Jadi, begitulah wang atau duit dalam kehidupan kita ini. Marilah kita melihat keperluan kita kepada duit atau wang itu dalam konteks memahami bahawa kita adalah salah satu kenderaan air tersebut dan kita sendiri yang perlu menentukan banyak mana air yang kita perlukan untuk menjadikan kenderaan air kita bergerak. Seluas mana dan sedalam mana ruang yang kita perlukan untuk kita bergerak?

Adakah kita ini hanya sebuah rakit, sebuah sampan atau perahu, tongkang, kapal nelayan atau kita adalah kapal besar lagi moden seperti Titanic, Star Cruise atau apa? Sesudah kita memastikan kita adalah kenderaan air yang mana satu, maka bertanya pula aku ini sesuai untuk bergerak atau belayar di mana? Adakah aku hanya sesuai di sungai sahaja? Atau aku hanya sesuai di pinggir pantai sahaja atau aku memang boleh bergerak di lautan yang luas dan dalam?

Kalau kita dapat menjawab semua soalan itu dengan baik dan kita memahami ibrah ini, insya’allah kita akan lebih tenang dan berlapang dada kerana pokoknya kita tahu apakah yang kita mahu atau tuju dalam kehidupan di dunia ini.

Ketika menulis artikel ini, saya teringat kepada duit lama yang disebut, “duit cap kapal layar”.