Pengalaman Kerja

Orang tua kita dahulu cukup risau kalau kita duduk saja-saja, melepek dan bersilang kaki.

Seawal umur enam tahun saya sudah disuruh mengemas rumah dan membasuh pinggan mangkuk ketika emak saya pergi menoreh getah. Sampai hari ini saya masih berbangga melakukan “kerja orang perempuan” ini, kerana didikan inilah yang menjadikan saya kemas dan teratur sampai sekarang.

Ketika usia sekolah rendah saya mengikut emak menoreh getah. Saya akan “cuci pot” iaitu mengutip getah skrap di dalam mangkuk tadahan dan mengheret guni getah skrap yang berat dan busuk itu ke tempat pengumpulan atau jualan.

Apabila sekolah bercuti panjang, saya menoreh dan memproses sendiri getah yang saya toreh di sebuah kebun getah sekangkang kera yang abah sewa. Saya dapat upah RM5 sehari.

Ketika sekolah menengah saya mengikut abah dan melakukan kerja-kerja berat di kebun kelapa sawit seorang doktor yang abah ambil upah menjaganya. Menebas, meracun dan membubuh baja antara kerjanya.

Semasa saya di tingkatan lima dan cuti panjang selepas SPM, abah dan emak makin risau setelah seminggu saya di rumah tanpa ada apa-apa kerja. Padahal saya yang minat dan cenderung dalam penulisan telah banyak menulis puisi dan cerpen pada waktu itu.

Beberapa karya saya telah menang di peringkat sekolah, namun disebabkan saya tiada mesin taip, saya tidak menghantar karya saya ke mana-mana penerbitan. Ketika itu azam dan impian saya ialah memiliki mesin taip.

Saya kemudiannya mencuba kerja sebagai buruh binaan di pekan Serdang. Saya mengikut satu kontraktor Cina yang ketika itu sedang membina projek perumahan Taman Melur yang kini dikenali sebagai “taman cikgu” kerana ramai cikgu yang tinggal di taman itu kini.

Saya berhenti bekerja sebagai buruh binaan selepas tiga hari bekerja. Saya berhenti bukan kerana penat dan pecah-pecah tapak tangan menolak semen atau membancuh semen. Bukan juga kerana kontraktornya Cina. Saya berhenti kerana seorang pekerja senior dan berumur selalu membuli saya dan mendesak serta mengajak saya melanggan pelacur! Saya tidak suka dengan akhlaknya.

Cina kontraktor yang menjadi superior saya memberikan saya RM250 selama tiga hari saya bekerja. Sehari RM50, sepatutnya gaji saya hanya RM150, tetapi beliau memberikan RM100 lagi sebagai bonus.

Arwah datuk saya kemudian pernah membawa saya ke kilang jahitan; menjahit anak-anak patung. Masyaallah, semua pekerjanya perempuan dan ada di antara mereka ialah kawan-kawan sekelas saya dulu. Saya jadi malu. Nasib baik saya tidak diterima di situ.

Permohonan dan temuduga saya untuk bekerja kilang (ketika ini bekerja kilang popular di kalangan anak-anak kampung) tidak pernah diterima. Beberapa kilang yang saya cuba gagal. Mereka kata budak pandai tidak boleh kerja kilang. Pandai?

Akhirnya abah membawa saya ke Estet Ladang Some untuk bekerja sebagai buruh estet. Kerja saya ialah meracun rumput dalam ladang kelapa sawit. Menggalas tong racun rumpai atau menanggung bancuhan tong racun adalah kerja saya sebagai buruh estet. Sesekali kami menabur baja di pokok-pokok kelapa sawit.

Akhirnya saya jatuh sakit seminggu sebelum keputusan SPM dikeluarkan kerana batuk yang teruk sehingga berdarah. Puncanya saya terhidu wap semburan racun dalam tempoh yang lama walaupun memakai penutup mulut.

Saya tidak ingat gajinya berapa (Sdr. Syaharul Nizam mungkin ingat) tetapi hampir semuanya saya serah kepada emak dan abah untuk keperluan keluarga kami.

Detik pengumuman keputusan SPM 1993 dan selepasnya mengubah sebahagian persepsi orang terhadap saya. Saya bukanlah pelajar harapan yang mendapat perhatian guru. Rekod peperiksaan utama sebelum-sebelumnya cukup mengecewakan.

Alhamdulillah saya memperoleh Pangkat 1 dalam SPM. Saya naik ke tingkatan enam dan mengambil STPM.

Semasa menunggu keputusan STPM Cikgu Joohari Ariffin mencadangkan saya kerja sebagai Guru Sandaran Tidak Terlatih (GSTT). Cikgu Jo kata semasa temuduga elok pakai baju putih seluar hitam. Formal. Budak kampung tidak ada banyak baju. Baju T yang ada, itulah baju harian, itulah baju dibawa berjalan.

Saya hanya ada sehelai baju kameja raya putih dan jalur coklat yang rare. Sehelai seluar hitam jalur putih. Saya rasa betapa kelakarnya saya pada hari temuduga itu. Yang menghantar saya temuduga di Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) di Kulim ialah Cikgu Jo sendiri. Rare betul.

Akhirnya saya berkhidmat sebagai GSTT selama hampir setahun pada 1996. Enam bulan saya mengajar di SM Sultan Ahmad Tajuddin dan enam bulan lagi di SM Serdang. Gaji saya dengan kelulusan SPM pada ketika itu RM530. Selepas keputusan STPM diumumkan saya dapat pergerakan gaji sehingga RM815.

Semasa di Universiti Malaya saya terlibat aktif dalam persatuan. Saya mengikut Persatuan Bahasa Melayu UM (PBMUM) dan Persatuan Anak Kedah UM. Pada ketika inilah saya dilatih menjadi fasilitator dan juga motivator. Ada program yang dibayar dan ada yang tidak. Saya suka menjadi fasilitator dan mendorong orang menjadi hebat dan lebih baik.

Saya juga membuat kerja sambilan dengan menyunting assignment sendiri dan menjadikannya artikel lalu dihantar ke Majalah Dewan Bahasa Pustaka.
Artikel saya pernah disiarkan dalam Dewan Budaya dan majalah Massa terbitan Utusan.

Artikel saya di Massa memenangi hadiah pemenang bulanan (dua orang pemenang sebulan). Seorang lagi pemenang yang menang bersama saya pada bulan itu ialah Dato’ Dr. Asyraf Wajdi Dusuki, Timbalan Menteri JPM sekarang.

Saya juga menghantar cerpen-cerpen saya ke Dewan Sastera. Salah satu cerpen saya disiarkan majalah Tunas Cipta dan memenangi Anugerah Tunas Cipta pada tahun 2000.

Ketika di UM juga saya mengajar tuisyen pada waktu malam. Ada seorang kakak itu meminta saya mengajar anak-anaknya di rumah pada waktu malam. Saya dibayar RM350 sebulan.

Saya juga pernah bekerja dengan Setiausaha Agung PKPIM, Sdr. Ahmad Zaki Yamani. Ketika itu saya sudah berada di hujung pengajian di UM.
Semasa di PKPIMlah, Presiden PKPIM waktu itu, Dato’ Dr. Asyraf Wajdi Dusuki memaklumkan saya kekosongan kerja di Institut Perkembangan Minda (INMIND). Saya diterima masuk ke INMIND semasa menunggu keputusan semester akhir UM.

INMIND membentuk peribadi dan perwatakan saya begitu lama. 13 tahun saya di INMIND, pelbagai peringkat jawatan dan bertukar-tukar jabatan dengan pelbagai bentuk dan jenis tugasan menjadikan saya multi-tasking.

2013, sekali lagi menjadi titik coretan sejarah apabila saya menyertai perkhidmatan awam atas jemputan sebagai Pegawai Seranta Felda Jabatan Perdana Menteri.

Macam-macam kerja yang kita buat, macam-macam pengalaman yang kita dapat!

Buat Sendiri Guna Tulang Empat Kerat

rumah_kamiPada zaman kanak-kanak, saya kerap mendengar istilah ini: “buat sendiri, guna tulang empat kerat”. Perucap ungkapan keramat tersebut tidak lain ialah allahyarham abah dan ibu saya yang masih hidup.

Kami hidup dalam kesusahan jika manifestasi kesusahan itu dijustifikasikan pada keberadaan wang dan harta. Kami tidak berwang dan tidak berharta. Allahyarham bapa bekerja sebagai tukang rumah dan ibu saya bekerja sebagai penoreh getah.

Namun, apa yang saya bangga dengan kedua ibu bapa saya ialah mereka tidak meminta-minta. Apabila perlukan sesuatu mereka akan berusaha untuk mendapatkannya dengan cara sendiri. Jika perlu menabung atau menyimpan wang, mereka akan melakukan itu. Mereka menggunakan tulang empat kerat masing-masing.

Alhamdulillah, saya menjadi saksi hidup segala kesusahan dan keperitan kehidupan keluarga kami pada waktu itu. Secara tidak langsung saya terdidik menjadi cekal dan tabah dengan dugaan dan cabaran hidup yang sebegitu. Saya dididik untuk cenderung berusaha sendiri untuk mendapatkan sesuatu. Buat sendiri; guna tulang empat kerat.

Ini menjadikan kami tidak pernah peduli dengan segala skim bantuan dan pertolongan. Jika ada pihak yang ikhlas datang membantu dan menghulurkan pertolongan, kami terima dengan baik dan berterima kasih. Namun untuk meminta-minta tidak sama sekali.

Saya tidak nafikan bahawa keluarga kami pernah dua kali dibantu mendapatkan rumah. Pada waktu itu dipanggil “rumah bantuan”. Apa-apa yang diberikan ialah perkakasan rumah seperti kayu dan papan. Kesan bantuan itu masih kekal sehingga ke hari ini kerana rumah kami masih menggunakan papan dan kayu tersebut; menjadi tugu peringatan bahawa kami pernah susah.

Pada ketika rumah kami hanya berbumbung atap rumbia, apabila usia atap rumbia berusia dua tahun lebih ia akan bocor di sana sini apabila hujan. Saya masih ingat seringkali ibu akan menadah besen atau timba di mana-mana tempat yang bocor apabila hujan lebat. Selain besen dan timba kain buruk juga ditaburkan di sana sini bagi menampung air hujan yang mencurah masuk melalui lubang atap rumbia yang bocor. Kadang-kadang ibu kebasahan.

Tidak ada air mata yang ingin basah dan menitis lagi apabila melihat ibu kebasahan menadah air atap yang bocor. Saya hanya mampu menangis di dalam hati.

Kini kami tidak juga senang tetapi seringkali kalimat “buat sendiri, guna tulang empat kerat” itulah yang menjadi zikir dan azimat penguat semangat untuk meneruskan survival kehidupan ini. Alhamdulillah, Allah telah mencukupkan segala keperluan duniawi. Tidak ada kemewahan, tidak ada kehendak. Yang ada hanya apa-apa yang perlu. Kami bahagia begitu.

Rumah kami seringkali banjir. Sering. Apabila hujan lebat mencurah-curah selama lebih dua jam tanpa henti, kami akan bersiap-siap mengemas barangan dan perkakasan rumah dan diletakkan di rumah atas. Jika melihat di dalam rumah kami usahlah berasa pelik apabila melihat meja, almari, peti sejuk dan mesin basuh semuanya dilapik dengan batu-bata setinggi satu kaki. Gunanya untuk mengelakkannya daripada diresapi air banjir.

Banjir paling teruk dan besar berlaku pada hujung bulan November 2014 yang lalu. Air banjir di dalam rumah separas pinggang dan dada orang dewasa. Kali ini mesin basuh dan peti ais habis ditenggelami air. Kerusi, perabot dan pelbagai peralatan lain habis kebasahan dan terendam di dalam air.

Seluruh isi rumah dipindahkan ke pusat pemindahan sementara di Surau Batu 16.

Kami menganggap itulah banjir yang paling besar dan terburuk pernah dialami setakat ini. Pekan Serdang juga jenuh ditenggelami air. Deretan kedai-kedai Cina di pekan yang selama ini gah di tengah-tengah pekan pun air memasuki premis mereka. Selepas banjir ada kedai yang terpaksa melelong sahaja barangan yang basah. Sudah tentu harganya jatuh apabila sudah ditenggelami air.

Saya biasanya akan balik ke kampung apabila keadaan mendesak seperti ini. Ya, sekali lagi kami akan menggunakan tulang empat kerat kami untuk membersihkan rumah dan mengemas kembali keadaan rumah yang caca-marba itu. Kami berterima kasih kepada pasukan Rela yang sudi membantu kami membersihkan lumpur yang menepek di lantai rumah. Selebihnya kami akan bersihkan sendiri. Ya, itulah rumah kami.

Kami bersyukur dengan apa-apa yang berlaku itu. Kami menganggap apa-apa yang berlaku ialah ujian dan dugaan daripada Allah. Ya, banjir kami hanya sedikit sahaja, orang lain, negeri lain lebih teruk lagi banjirnya melanda. Demikianlah hidup. Pasti ada rahsia Tuhan di sebalik semua yang berlaku.

Kami redha.

Kokok Berderai-derai, Ekor Bergelumang Tahi

ayam-sabungAyam jantan, sifatnya berlagak, ego dan sentiasa menunjuk gagah, lebih-lebih lagi jika hendak memikat si ayam betina! Dengan bulunya yang berwarna warni, dengan megah dan gagah ia akan berkokok ke serata alam. Namun, demikian gagah, megah dan cantiknya si ayam jantan, ekornya meleret dan ada kalanya “menyapu” tahi yang diberaknya sendiri.

Peribahasa ini dianalogikan kepada mereka yang megah dan berlagak tetapi dalam masa yang sama sahsiah dan peribadi atau kelakuannya tidaklah semegah dan selagak dengan kecantikan luarannya itu.

Politik orang Melayu-Islam negara pada hari ini cukup bercelaru dan kelam-kabut, keluh-kesah dan gelisah seolah-olah tercabut daripada akar prinsip dan jati diri. Ya, politik yang tercabut daripada akar agama Islam.
Sudahlah pergaduhan dan perkelahian sesama ahli dalam parti tidak pernah sudah-sudah, perkelahian dan pergaduhan ini berlanjutan dengan orang seagama, sebangsa dan senegara. Politik diletakkan di puncak bagaikan itulah segala-galanya dalam hidup ini tanpa memikirkan balasan di akhirat.
Lebih mengecewakan, sekalipun berdiri atas nama Islam, Islam itu hanya tinggal nama kerana sepak terajang, bertegang urat dan berkelahinya mereka sama sekali tidak mencerminkan nilai-nilai Islam.
Mereka berkokok bercakap tentang rakyat bawahan yang perlu bersatu-padu, berbuat baik, kebajikan, jujur, amanah, dan seumpamanya, namun ironinya merekalah yang bergaduh tidak habis-habis.
Mereka sendiri tidak boleh menjadi contoh yang baik agar diteladani oleh rakyat. Mereka hanya pandai bercakap tetapi akhlak mereka cukup teruk dan memalukan malah sentiasa mengambil tindakan-tindakan yang memualkan.
Mereka tidak ubah ibarat ayam jantan yang berkokok berderai-derai, tapi ekor bergelumang tahi!